IPOH: Sarawak perlu menyimpan sebahagian pendapatan hasil sumbernya sebagai Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak (SWFF).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini terutama apabila kedudukan kewangan Sarawak semakin kukuh.
"Apabila kedudukan kewangan Sarawak semakin kukuh, negeri perlu menyimpan sebahagian daripada hasilnya untuk manfaat generasi akan datang melalui Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak (SWFF),” katanya pada majlis Perasmian ‘High Performance Team’ (HPT) di Royal Perak Golf Club, di sini.
SWFF telah dibentuk selepas undang-undang itu diluluskan di DUN tahun lalu dan dijangka beroperasi menjelang tahun depan dengan peruntukan modal permulaan RM8 bilion.
Sementara itu bagi menambah pendapatan pula, Abang Johari berkata, Sarawak mesti menambah nilai kepada kekuatan sumbernya.
Antaranya dengan pembangunan hidrogen untuk eksport menjelang 2027, perdagangan karbon dan pembangunan hiliran sumber minyak dan gas untuk menghasilkan metanol dan ammonia.
Sumber dari : Jiwa Bakti